Pendidikan Sains atau Sastera? Kedua-dua aliran bersifat subjektif


ENTAH mengapa aliran sains dan sastera sering kali dijadikan perbandingan masyarakat hingga timbul ‘konfrantasi’ tidak munasabah.

Ada melabelkan sains sebagai aliran elegan dan berprestij sementara sastera lebih menyuntik nilai kemanusiaan serta estetika. Walaupun sering dilanda kritikan dan konflik, sesiapa pun tidak boleh menafikan kepentingan dua aliran berkenaan dalam menjana pembangunan proses pendidikan serta pembangunan negara menerusi cara masing masing.

Persoalannya, mengapa masih ada pihak yang tidak faham?

Pensyarah kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Madya Dr Abdul Halim Ali berkata, sama ada sains atau sastera, kepentingan utama perlu didahulukan iaitu melahirkan pelajar yang boleh menjadi aset berguna negara.

Menurutnya, kedua-dua aliran itu bersifat subjektif dan hanya asas mengukur kemampuan pencapaian akademik pelajar.

“Justeru, tidak perlulah ia digembar-gemburkan secara keterlaluan hingga ‘melukakan’ hati sesetengah pihak.

Kedua-duanya hanya aliran yang diwujudkan bagi memenuhi keperluan semasa.

“Sama ada sains atau sastera, yang perlu ditekankan ialah bagaimana mahu melahirkan pelajar seperti dikehendaki Falsafah Pendidikan Negara.

“Pertikaian atau diskriminasi itu hanya menjadikan pelajar mahupun dunia pendidikan negara berkecamuk, sekali gus boleh menggagalkan usaha dilakukan,” katanya.

Isu berat sebelah aliran sains dan sastera yang disensasikan berupaya mewujudkan senario ‘diskriminasi’ kurang sihat antara satu sama lain.

Tanggapan bahawa aliran diikuti adalah yang terbaik secara dalamannya menjadikan proses pendidikan negara berlangsung dalam suasana tidak harmoni.

“Padahal pendidikan bertujuan melahirkan insan berhemah dan berkualiti dengan ilmu serta proses pendidikan diikuti.

“Bukannya melahirkan kelompok yang membuat perbandingan berdasarkan status aliran. Ini bercanggah dan lari daripada konsep penerapan ilmu disasarkan,” katanya.

Beliau tidak menolak kepentingan sains dalam dunia aliran moden, namun mengakui sastera juga mempunyai fungsi tersendiri serta penting dalam menjana kemajuan.

Menurutnya, jika semuanya berpaksikan sains dan teknikal semata-mata, nilai kemanusiaan pasti hilang, sekali gus melahirkan ‘manusia – mesin’.

“Biarpun konsep sains dan sastera berbeza, namun kedua-duanya penting untuk melahirkan insan dengan aplikasi ilmu yang mampu dimanfaatkan bersama.

“Sains dan sastera lahiriahnya tidak boleh dipisahkan biarpun globalisasi dunia menjadi agenda utama. Gabungan kedua-duanya berperanan melahirkan kemajuan.

“Tidak adil apabila salah satu pihak mendabik dada mengatakan dialah yang terbaik. Ditekankan, dalam proses menuntut ilmu, semuanya baik asalkan tidak melanggar batasan,” katanya mengakui gabungan sains dan sastera mampu melahirkan pelajar yang bukan saja sensitif juga praktikal.

“Sensitif dengan nilai kemanusiaan dan emosi sementara praktikal dalam menjana proses kehidupan yang berteraskan material.

“Dunia moden hari ini memerlukan gabungan semua aspek, justeru tidak perlu menjadikan sains atau sastera sebagai penanda aras tertentu.

“Pelajar berjaya adalah mereka yang bijak mengaplikasikan pelbagai nilai dalam kehidupan dan tahu mewujudkan peluang,” katanya.

Beliau juga menolak tanggapan pelajar aliran sastera kurang bijak.

Mengambil contoh ilmuwan terkenal seperti Albert Einstein, dia berkata, di samping menjadi ahli sains, mereka juga tidak mengetepikan kepentingan sastera.
“Mereka adalah golongan bijak sains, namun tetap mahu memartabatkan sastera.
Mengapa?

“Sebab tahu nilai ilmu diperoleh tinggi dan tidak terbatas. Malah gabungan kedua-duanya memudahkan mereka meletakkan diri dalam pelbagai situasi.

“Tidakkah ini membuktikan kedua-duanya sama penting? Ilmu biar apapun kondisinya, jika mampu memberi manfaat tetap berguna,” katanya yang meminta semua pihak memberi sokongan kepada pelajar biar apa pun alirannya.

“Paling penting, mereka berjaya merentas dunia pendidikan dengan baik dan menjadi insan berguna dan berilmu,” katanya.

Ketua Jabatan Biologi UPSI, Dr Hasimah Alimon berkata, perubahan pesat dunia dan teknologi moden hari ini menjadikan sains satu keperluan asas paling utama.

Beliau juga tidak menidakkan keperluan sastera, namun sangat berharap supaya kapasiti pelajar sains sentiasa dipertingkatkan.

“Keperluan zaman sentiasa berubah dengan sains dan teknikal mendominasi carta permintaan dunia hari ini.

“Disebabkan permintaan itu, semua pihak tiada pilihan selain menyahut cabaran disediakan supaya kita mampu berdiri sama tinggi dengan yang lain.

“Benar, sastera juga ada kepentingannya, namun kerana senario yang menguasai keadaan, pilihan utama perlu didahulukan,” katanya.

Walaupun dianggap berprestij dan penting, aliran itu bagaimanapun masih belum mampu menarik minat sebahagian besar pelajar memilihnya.

Subjek sukar, akuinya, adalah faktor mengapa ia kurang menjadi pilihan biarpun prospek ditawarkan cukup cerah.

“Jika sastera ada cabarannya, sains juga begitu kerana aliran ini ‘bergelut’ untuk menarik perhatian pelajar. Taraf prestij tidak menjanjikan ia menjadi pilihan.

“Justeru, saya bersetuju biar apa pun pilihan aliran, masing-masing ada kepentingannya kepada penjanaan proses pendidikan negara,” katanya.

- HARIAN METRO

MY ADHA – SUMBER MAKLUMAT, JAWATAN KOSONG KERAJAAN, KERJAYA DAN PENDIDIKAN GURU

jawatan kosong

http://kerja.rajakamil.biz/category/jawatan-kosong/

Incoming search terms:

  • perbezaan aliran sains dan sastera
  • peluang kerjaya aliran sastera
  • kerjaya aliran sastera
  • beza aliran sains dan sastera
  • perbezaan kelas sains dan sastera
  • perbezaan aliran sains dan aliran sastera
  • pelajar sastera 2014
  • jawatan berkaitan sastera
  • beza sains sastera
  • beza aliran sastera