Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) diperkenal


Kementerian  Pelajaran telah membangunkan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) yang bukan sahaja dapat mengurangkan beban tugas guru malah memudahkan capaian kepada maklumat murid dari peringkat prasekolah hingga kolej matrikulasi.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pelajaran, Datuk Sufa’at Tumin berkata, APDM mengelakkan guru melakukan kemasukan data berulang kali dalam pelbagai sistem yang dibangunkan oleh pelbagai pihak di kementerian termasuklah Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) dan sistem lain yang berkaitan.

”APDM dijadikan pangkalan data utama dan tunggal untuk menyediakan data bersepadu murid yang boleh diguna sama oleh pelbagai sistem yang dibangunkan oleh pelbagai pihak di kementerian pada masa akan datang.

”Pengurusan data murid dalam APDM akan bermula seawal murid memasuki prasekolah sehingga tamat tingkatan enam atau kolej matrikulasi,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Murid dan guru boleh mengakses sistem APDM yang dibangunkan Bahagian Pengurusan Maklumat ini di http://sekolahmalaysia.com.

Menurut Sufa’at, APDM juga dapat menangani kesukaran guru memasuki laman sesawang SPPBS.

“Sistem APDM memudahkan 412,000 guru sekolah rendah dan menengah seluruh negara yang menggunakan sistem PBS,” ujarnya.

Sebanyak 5,272,478 pelajar terdiri daripada 2,804,405 murid sekolah rendah dan 2,281,775 pelajar sekolah menengah terlibat dalam perlaksanaan sistem PBS membabitkan 7,723 sekolah rendah dan 2,296 sekolah menengah.

Selain itu kata Sufa’at, menerusi data kelahiran dan data murid yang mendaftar ke tahun satu, kementerian dapat mengenal pasti murid yang cicir daripada memasuki persekolahan sekali gus membantu merealisasikan dasar pendidikan wajib dan pendidikan untuk semua.

Ujarnya, data murid ini diteruskan penggunaannya ke peringkat sekolah menengah menerusi eDaftar Menengah dan proses penetapan sekolah feeder, manakala data murid dari sekolah rendah pula terus dipindahkan ke sekolah menengah yang menempatkan murid tersebut.

”Tindakan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban tugas guru dan e-Kehadiran yang diperkenalkan akan menggunakan data murid yang terdapat dalam APDM dan pembantu tadbir yang dilantik akan mengunci masuk kehadiran murid setiap hari.

”Data kehadiran berkenaan digunakan oleh Portal Dasboard PPD yang akan digunakan sepenuhnya bermula tahun ini, jadi, semua data murid tersebut diguna sama oleh semua sistem lain yang terdapat di kementerian,” jelas beliau.

Malah, ujarnya, data dan maklumat murid turut digunakan bagi tujuan rasmi seperti pendaftaran peperiksaan awam, latihan khidmat negara, bantuan dan perkara berkaitan dengannya.

Bagi memastikan kelancaran penggunaan sistem itu, beliau meminta semua pihak termasuk guru besar, pengetua dan pejabat pelajaran di setiap daerah melaksanakan tugas masing-masing demi menjayakan perlaksanaannya.

”Guru kelas hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya kepada data dan maklumat murid, ibu bapa atau penjaga serta perlu mengemas kini semua data dan maklumat murid yang berada di dalam kelasnya dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa kata laluan sistem tersebut tidak boleh didedahkan kepada pihak lain bagi mengelakkan berlakunya pencerobohan terhadap APDM sehingga boleh mengganggu data yang terdapat di dalamnya.

Kata beliau, selain guru dan pengetua, peranan pejabat pelajaran daerah juga perlu digerakkan bagi memastikan perlaksanaannya berjalan lancar dan paling utama menepati inspirasi pendidikan berkualiti secara menyeluruh oleh kerajaan.

Sumber : UTUSAN

MY ADHA – Sumber Maklumat, Jawatan Kosong & Pendidikan

jawatan kosong

http://kerja.rajakamil.biz/category/jawatan-kosong/

Incoming search terms:

  • apdm sekolah malaysia
  • apdm sekolah menengah
  • sekolah malaysia apdm
  • apdm sekolah malaysia 2013
  • Kemas Kini Aplikasi Pangkalan Data Murid
  • sekolah malaysia pangkalan data
  • apdm edaftar menengah sekolah malaysia
  • APDMSEKOLAHMENENGAH